Kontroversi Timah (wiski)

Potret Tristram Speedy yang diletakkan sebagai figura dalam bungkusan Timah.

Selepas pelancaran pada Oktober 2021, minuman keras ini mendapat kecaman daripada kelompok Islamis tempatan atas penjenamaan wiski itu yang disifatkan sebagai menghina masyarakat Islam, terutamanya pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang.[4][3] Menurut pembangkang, nama wiski itu, Timah dikatakan mirip atau dinamakan sempena nama wanita Muslim am, "Fatimah" yang lazim dikaitkan dengan puteri Muhammad, Fatimah al-Zahra.[5] Potret pada bungkusan yang menampilkan seorang figura bertopi kopiah dan berjanggut lebai juga dipersoalkan pihak pembantah kerana dikatakan berunsur Islamik.[6] Oleh kerana itu, pihak pembantah juga mengusulkan agar minuman itu diharamkan daripada dijual di Malaysia serta dijenamakan semula.

Walaupun begitu, pihak pengeluar menafikan logik di sebalik penjenamaan itu, dan menerangkan bahawa nama itu adalah berdasarkan unsur logam bernama sama serta tidak berniat untuk menerapkan unsur-unsur Islam, dan dipasarkan bagi warga bukan Islam. Mengikut pengeluar, penjenamaan wiski ini diilhamkan daripada kerancakan industri timah pada zaman kolonial Tanah Melayu. Sementara itu, potret pada bungkusan ialah seorang pegawai kolonial, Tristram Speedy (juga digelar Captain Speedy seperti pada bungkusan) yang dikatakan meperkenalkan wiski ke Tanah Melayu.[7]

Sementara itu, sesetengah golongan awam mengalu-alukan penjenamaan minuman itu, dan menggelar kecaman yang disampaikan sebagai "berlebih-lebihan" serta "petanda hampirnya musim pilihan raya."[7] Sementara itu, seorang pegawai utama PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengalu-alukan penjenamaan itu atas dasar toleransi ke atas masyarakat bukan Islam, dan menyifatkan kontroversi yang terbit sebagai suatu yang tidak perlu.[8]